JOM CITER.....RELAXS KAN MINDA ANDA.
Waktu kecil-kecil dulu, aku sering cemburu pada ibu. Bukan cemburu
kerana ibu lebih cantik atau menawan dariku. Tapi aku cemburu bila
melihat ibu selalu membeli barang-barang keperluan dirinya yang
pelbagai. Ibu selalu membeli baju-baju baru, yang kebanyakannya disimpan
di dalam almari usangnya. Boleh dikatakan setiap bulan, ibu akan
membeli kain ela baru untuk dibuat baju. Kadang-kadang ibu beli tanpa
memberitahuku. Tahu-tahu, sudah tergantung di dalam almari. Pakaian ibu
cantik-cantik dan sebagai anak yang sudah meningkat remaja (14 tahun)
aku akui rasa cemburu setiap kali ibu menunjukkan pakaian barunya
sedangkan aku waktu itu, jarang dibelikan persalinan yang baru.
Satu lagi yang membuat aku sebal dengan sikap ibu ialah, ibu selalu
membazir duit dengan membeli barang-barang kemas yang pelbagai bentuk.
Cincinnya hampir semua jari ada tersisip. Rantai leher ada lima utas.
Yang satu bergulung-gulung hingga ke dada. Yang satu lagi bulat-bulat
bagai kepingan syiling lima puluh sen. Ibu sanggup berhutang hanya untuk
mendapatkan rantai baru. Aku tidak tahu apa keperluan semua itu. Aku
lihat jiran-jiran ibu juga begitu. Kerlipan emas sarat di leher, tangan
dan jemari. Aku tidak tahu apakah itu satu pemandangan biasa atau
keperluan bagi orang-orang yang seusia dengan ibu.
Yang sebetulnya, aku kecil hati kerana ibu tidak pernah membelikan
barang kemas walau sepasang anting-anting pun untuk aku. Aku jadi sakit
hati juga kerana kakak-kakakku masih lagi mendapat sekurang-kurangnya
sebentuk cincin dari ibu. Biasanya
cincin yang ibu rasakan sudah lama dipakai, ibu akan berikan kepada
kakak-kakakku, tetapi tidak aku. Ini membuatkan aku betul-betul sakit
hati.
"Mak ni, asyik beli rantai...jee. .. kan mak dah banyak rantai.."Aku
membebel satu hari bila mak menunjukkan seutas rantai yang baru dibeli.
Juga secara hutang.
"Tak apalah Nana, mak saja simpan banyak-banyak. Mana tahu, mungkin
berguna satu hari nanti. Lagipun rantai ni ayah kamu dah janji lama nak
belikan mak dulu..."Aku muncung dengar mak jawab begitu.
"Asyik belikan mak....aje. Orang punya takde belikan pun..."Aku
mencebik. Seharusnya aku anak perempuan yang bongsu patut dilebihkan
dalam segala hal. Tapi ibu tidak pernah bersikap begitu.
"Ibu belikan kak yah dan kak Ani cincin, tapi Nana ibu tak belikan
apa-apa pun..."
"Nana kan masih sekolah. Kalau Nana nak pakai barang kemas, tunggu dah
kerja esok."Begitu selalunya ibu membahasakan aku. Sakit hati aku.
Tambah sakit hati, bila saja Ayah dapat hasil kebun lebih, ibu menukar
rantainya dengan yang lebih besar lagi. Ayah tidak pula marah. Pelik aku
dengan sikap ayah.
Lama-lama aku jadi malas untuk melayan sakit hatiku lagi. Bila aku
terlihat cincin atau rantai baru dileher ibu, aku hanya diam saja.
Aku
tidak mahu bertanya apa-apa. Sehinggalah aku masuk ke asrama di bandar
dan mengambil SPM. Setiap kali aku pulang dari asrama, aku lihat ibu
masih dengan hobinya mengumpul barang-barang kemas.
Bila aku mendapat tawaran belajar di universiti, aku tidak tahu sama ada
ibu gembira atau sebaliknya. Kerana dalam keluarga belum pernah ada
anak-anaknya yang berjaya belajar di universiti. Aku tidak kisah kalau
ibu tidak berbangga dengan hasil usahaku kerana sedari kecil memang
cita-citaku untuk ke universiti begitu kuat sekali. Kini hasratku itu
telah tercapai dan tiada apa lagi yang lebih menggembirakan selain
kejayaan ini.. Aku sudah boleh hindarkan perasaan cemburu andai ibu
lebih sayangkan kakak-kakakku atau ibu lebih sering membelikan pakaian
atau perhiasan untuk mereka berbanding aku. Memang aku bukanlah manja
sangat dengan ibu kerana 3 tahun aku di asrama.
Sepanjang tempoh itu aku tidak kisah lagi kalau ibu tidak belikan
langsung apa-apa untuk aku. Aku tidak perlukan barang-barang kemas
begitu dari ibu. Aku boleh beli sendiri bila aku sudah bekerja nanti.
Yang penting aku sudah buktikan yang aku lebih bijak dari kakak-kakakku
yang lain.
Masuk tahun kedua pengajian, aku sering mengalami lemah badan dan
pening-pening yang keterlaluan. Kadang-kadang aku terpaksa ponteng kelas
dan ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pelajaranku. Aku tidak
pernah mengadu pada sesiapa walau dengan
ibu. Kerana aku tidak pernah merasakan ibu akan memberi perhatian
kepadaku. Sehinggalah aku pitam sewaktu beratur mengambil makanan dan
hanya tersedar bila merasakan genggaman di jemariku. Wajah ibu yang
penuh garis-garis halus itu aku tatap pilu dan terasa ada getaran dalam
dadaku. Betapa aku tidak pernah membelek wajah itu sungguh-sungguh
sebelum ini. Dan baru aku sedari betapa berbezanya wajah ibu kini.
Aku cuba bersikap seperti biasa bila doktor memaklumkan akan keganjilan
darahku yang menyebabkan ia tidak dapat mengalir senormal mungkin.
Penyakitku belum diketahui, tetapi darahku harus dicuci. Aku juga harus
menjalani pembedahan dibahagian buah pinggang. Sejak itu ibu
mengunjungiku saban hari. Dia membawakan apa-apa saja yang dirasakan
menjadi kegemaranku. Suatu hari, bila ibu bawakan aku lepat pisang
makanan kegemaranku aku jadi begitu terharu lalu aku menangis
teresak-esak. Tapi aku hanya menangis dalam diam-diam. Aku terlalu
menghargainya tetapi aku tidak tahu bagaimana untuk meluahkan. Aku tidak
mahu dia melihat aku seperti terlalu berharap akan kasih sayangnya.
Saban hari ibu menemani dan menyuapkanku makan, aku mula sedar betapa
ibu juga menyayangiku, cuma mungkin dia tidak atau kurang menunjukkan
perasaannya. Aku jadi malu kerana sering beranggapan ibu menyisihkanku.
Beranggapan yang ibu tidak mengendahkanku semata-mata kerana dia tidak
pernah membelikan apa-apa untukku. Setiap kali ibu ingin pulang, aku
teringin sekali memeluk dan mencium pipi ibu, tetapi aku rasa janggal
dan malu untuk melakukannya. Aku hanya mampu mencium tangan ibu seperti
selalu.
Aku tidak mengharapkan ibu menemaniku setiap hari. Bukan kerana aku
tidak suka, tetapi aku tidak mahu dia menghabiskan wang semata-mata
untuk berulang alik dari rumah ke bandar. Pendapatan ayah bukanlah besar
sangat. Tambahan adik lelaki masih belajar di menengah.
Pembedahanku
pula terpaksa ditangguhkan kerana kekurangan wang. Aku terpaksa
mendahulukan wang biasiswaku tetapi ia masih tidak mencukupi.
Semalam, ibu tidak mengunjungiku. Hari ini juga tidak. Hanya Ayah yang
terpacul tengahari itu dengan membawa khabar gembira. Wan g yang
dikumpul telah mencukupi dah aku akan dibedah secepat mungkin. Bila aku
bertanyakan ibu, Ayah menyatakan ibu tidak berapa sihat dan tidak dapat
datang. Aku menunggu hari esok dengan sabar.
Pagi itu aku disorong ke bilik pembedahan. Aku tidak tahu berapa lama
pembedahan tersebut. Bila tersedar aku melihat wajah ayah dan kedua
kakakku di sebelah. Aku mencari wajah ibu tetapi tiada. Sedang
wajah-wajah didepanku terlihat mendung dan muram. Aku tidak tahu apakah
mereka tidak gembira melihat aku selamat dibedah.
"Mak mana, ayah?'Aku bersuara perlahan. "Kenapa mak tak datang?" Ayah
tidak menjawab sebaliknya hanya memandangku dengan mata yang mula
berkaca.
Setelah berkali-kali aku bertanya, Ayah memelukku erat sambil berbisik
ditelinga. Aku terjelepuk dan tidak sedar diri selepas itu.
Kata ayah, ibu baru semalam disemadikan. Ibu tidak dapat diselamatkan
setelah parah dilanggar motorsikal dari belakang. Aku tidak dapat
menahan hiba bila ayah menyatakan, ibu baru saja beberapa langkah keluar
dari sebuah kedai pajak apabila tubuhnya disambar motorsikal yang
dipandu laju. Ibu dikejarkan ke hospital dan sempat menyerahkan
bungkusan itu sebelum menghembuskan nafas.
Kata ibu, bungkusan itu untuk aku. Tanganku terketar-ketar saat membuka
bungkusan kain perca itu. Terlihat sebentuk cincin halus yang bermata
satu. Cincin itu untuk aku. Ibu telah menebus semula cincin itu untuk
dihadiahkan kepadaku. Bila aku harus
menjalani pembedahan, dan wang yang terkumpul masih belum mencukupi, ibu
telah menggadai semua barang-barang kemasnya hingga tiada satu yang
tersisa. Hanya tinggal cincin itu untuk diberikan kepadaku. Ibu
bercadang untuk memberikannya kepadaku bila aku sembuh nanti.
Akhirnya, ibu berikan juga aku sebentuk cincin. Bukankah itu yang selalu
aku harapkan selama ini? Adakah ia telah dapat membayar segala rasa iri
hatiku selama ini? Tiba-tiba aku rasa dunia ini begitu sepi. Aku rasa
seperti telah ditinggalkan jauh oleh orang yang amat aku perlukan
.Kenapa baru sekarang aku sedar segunung intan permata pun tidak akan
mampu menandingi
kebahagian memiliki seorang ibu. Dan segunung intan permata juga tidak
dapat membayar air mata seorang wanita yang telah melahirkan aku.